Rela yang ditinggal

Tempoh hari sempat mengikuti taklimat Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya ke Bangladesh. Malangnya, bukan sekadar peserta. Hanya berkhidmat pada sukarelawan yang akan berangkat.

Tetapi tiba-tiba persoalan muncul dihati ini;

"Kenapa saya sudah tidak berminat untuk kerja sukarelawan?"

Dahulu, kononnya aktif ber-persatuan. Bantu orang, kelola program, gunakan kemampuan yang ada, gadaikan masa dan tenaga. Semua yang dilakukan bagi membantu orang. Hingga satu tahap, saya lewat setahun menyelesaikan tempoh pengajian. Di panggil pihak penaja atas sebab ini, diberi surat amaran dan tinggallah rasa sepi apabila rakan-rakan sama angkatan pulang ke Malaysia terlebih dahulu.

Ya, saya tidak menyesalpun. Saya suka apa yang saya lakukan. 

Bantu orang.

Tetapi selepas menyelesaikan pengajian, mendapat segulung ijazah, memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan; namun, mana bakti sukarela ditinggalkan? 

Teringat kata-kata abang dan pakcik usrah dahulu, tempoh transisi daripada belajar ke alam pekerjaan agak mencabar. Tidak semua mampu istiqamah. Lebih-lebih lagi dengan mula berpasangan, bina keluarga kecil, pindah ke tempat baru. Semua itu menguji kita. Mampukah kita terus berkhidmat atau terus akur dalam putaran "bangun-kerja-makan-tidur" yang berulang-ulang.

Akur dan tenggelam.

Memang rasa ditempeleng. Iyalah, dahulu pandai berkata-kata. Pesan pada adik-adik. Kini saya lakukan perkara yang sama. Perkara yang dilarang, itu yang diikuti.

Sama ada dari segi kepakaran, dengan ijazah yang dapat, selain tugas hakiki, mana bakti kita pada masyarakat? Belajar dahulu menggunakan wang mereka. Dibiayai lagi. Selesai pengajian, hulurlah sedikit.

Hurm.

Teringat pada sebuah buku. Tajuknya, "Shaleh tapi tak berdaya guna".

Ini gambar buku tersebut.


Buku Shaleh tapi tak berdaya guna karya Muhammad bin Hasan bin Aqil Musa Syarif.
(sumber gambar: tokopedia)

Agak aneh apabila wujud orang soleh, namun digelar tidak berdaya guna. Tetapi, apa yang dapat kita ambil, dengan aset yang ada pada kita sama ada dari segi ilmu, masa dan tenaga, segalanya perlulah disalurkan. Jika tidak, sia-sia lah apa yang kita ada ini. Ketidak berdayaan kita ini merugikan kita sendiri dan juga masyarakat.

Contohnya, saya mempunyai ilmu perubatan, bagaimana saya dapat salurkan pada masyarakat? Tidak kiralah daripada hal sekecil menerangkan ilmu kepada masayarkat di facebook, hinggalah berbakti dengan seluruh masa  dan tenaga dengan hospital/klinik percuma. Apa-apa sahajalah. Yang penting, bermanfaat pada masyarakat.

Hidup kita bukan hanya untuk kita.

Perlu fikir dan bangkit.

Jangan termangu terlalu lama, wahai encik doktor!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum

Mereka yang dari pintu ke pintu