Know your limits

Sumber: Devian Art- Kab 3on

Saya masih ingat komen seorang sahabat ketika awal-awal saya memulakan penulisan blog. Sahabat dalam jurusan agama di salah sebuah Perguruan Tinggi Negeri di Aceh. Komennya simple, tapi masih saya ingat hingga kini.

Beliau meminta saya banyak menulis mengenai bidang perubatan.

Ketika itu, saya banyak menulis perihal keagamaan. Mungkin orang kata Islamik. Tiba-tiba datang komen suruh saya tulis dalam bidang perubatan. Pertamanya, mungkin boleh dilihat beliau mahu mengetahui serba sedikit tentang bidang perubatan. Keduanya, mungkin kerana saya sebenarnya tidak layak menulis sesuatu yang bukan dalam bidang saya.

Saat ini, banyak isu-isu perubatan atau kesihatan yang ditimbulkan masyarakat awam. Kebanyakannya hanyalah 'hoax'. Hanya sensasi, bukan fakta. Orang kita suka dengan hal-hal begini. Contohnya, bahaya panadol, golongan antivaksin, golongan pejuang home birth, maggi lebih baik daripada syabu, bidang perubatan menipu dalam bab minum kopi dan kambing yang dikatakan sunnah, serta banyak lagi.

Sebagai pelajar perubatan, kadang-kadang kita merasa marah. Orang awam, baca beberapa artikel, dengar orang komen, terus keluarkan pernyataan yang mengelirukan. Sedangkan dasar-dasar ilmu perubatan mereka tiada. Lebih-lebih lagi yang anti pada perubatan moden.

Senang cerita, mereka ini tahu sedikit. Banyak yang mengelirukan.

Kunci utamanya, kerana mereka tidak mengikuti disiplin ilmu. Dalam bidang perubatan, sebelum kita belajar mengenai sesuatu kelainan/penyakit (patalogi), kita harus tahu dulu bagaimana sistem tubuh kita berfungsi secara normal (fisiologi).

Setiap ilmu itu, ada disiplin-disiplinnya.

Jadi, bila teringat hal ini, terfikir kembali. Kita ni marah kalau orang yang tak tahu apa-apa, tetapi keluarkan artikel yang aneh, tidak tahu dari mana sumbernya. Namun, bagaimana perasaan pelajar-pelajar urusan agama ketika kita membahaskan bidang agama sedangkan banyak yang kita tidak tahu?

Memang benar agama itu kehidupan seharian kita. Kenapa kita tidak boleh bicara tentang kehidupan seharian kita? Salahkah? Habis tu, hanya ustaz dan ustazah je yang boleh bercakap mengenai agama? Namun, kita perlu sedari, agama Islam itu juga terdiri daripada cabang-cabang keilmuan di dalamnya. Mana mungkin kita dapat kuasai semuanya. Lebih-lebih lagi jika belajar dengan tidak berdisiplin. Rujukan cuma youtube, google dan internet.

Mungkin konklusi yang saya dapat setakat ini, 'tahu had batas kemampuan diri kita'. Tak best pula sebut dalam Bahasa Melayu. Mungkin dalam Bahasa Inggeris lebih keren- Know your limits!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum