Lahad Datu


"Askar (dan polis) yang mati kat Lahad Datu tu dikira mati syahid ke?"

Seorang sahabat bertanya, seolah ingin menduga.

Entahlah. Sukar untuk dijawab, atau mungkin lebih tepat, saya tak layak untuk menjawabnya. Apa yang berlaku disana sukar untuk disahihkan, mana satu yang benar, mana satu yang salah.

Ketika bermula isu tuntutan Sabah secara bersenjata ini diuar-uarkan, kerajaan mengambil langkah dengan menafikannya. Bahkan ianya dikatakan hanyalah khabar angin yang tidak benar. Ketika itu, antara yang mula 'menjelmakan' isu ini ditengah-tengah masyarakat pastinya kalangan pro-pembangkang.

Dan, sampai ke hari ini, kita masih belum jelas apa yang berlaku. Ianya ditutup dengan alasan 'strategi perang' dan 'rahsia pihak keselamatan'. Saya sendiri kurang bersetuju dengan sikap reaktif kalangan kita. Seolah-olah dengan alasan demikian, tiada apa yang dapat dilaporkan. Media hanya boleh melaporkan hasil sidang media rasmi sahaja.

Ketika isu ini tercetus, saya melihat rakan-rakan di Sabah seolah-olah bingung dengan apa yang terjadi. Mereka terpaksa mendapatkan laporan dan berita melalui media luar negara, terutamanya Filipina. Sedangkan, fungsi media tempatanlah paling utama ketika itu! Hal semasa, apa yang perlu dilakukan, standard operation procedure (SOP) dan pelbagai lagi yang seharusnya dilaporkan oleh media tempatan seolah-olah tiada.

Pertahankan Tanah Air Vs Tuntutan Balik Tanah Air

Berbalik kepada persoalan asal, adakah perajurit kita yang terkorban tersebut mati syahid? Jika secara mudah dengan sentimen kebangsaan, pastinya kita menjawab- Ya! Tetapi, saya cuba bersikap kritikal dalam hal ini. Bukan menafikan ke-syahid-an perajurit tadi, tetapi bagaimana pula nasib 'pahlawan' Sulu yang terkorban?

Dalam situasi perang/pertempuran, banyak hal yang sukar dipastikan. Ianya akan bercampur baur. Antara yang kita dengar adalah pihak yang mengatakan wakil Kesultanan Sulu datang ke Malaysia kerana dijanjikan beberapa hal oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Saya memetik hal ini kerana kita perlu berlaku adil dalam menilai situasi yang berlaku.

Jika mereka datang atas janji pemerintah Malaysia sendiri, lalu janji dimungkiri, dan kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya janji tesebut. Lalu mereka berjuang mempertahankan apa yang dijanjikan, adakah perjuangan mereka itu sia-sia? Apakah mereka ini dikira sebagai pemberontak ataupun mempertahankan hak milik mereka?

Sukar untuk kita tentukan.

Malaysia berpendapat Sabah adalah milik Malaysia dan bayaran ke Kesultanan Sulu hanyalah sebagai pampasan. Sedangkan, Kesultanan Sulu pula berpendapat Sabah hanyalah disewakan kepada Malaysia dan sekarang tiba masanya mereka menuntut kembali hak mereka.

Banyak hal yang pelik dalam isu di Lahad Datu ini. Pemimpin Kerajaan memaklumkan jangan dipolitikkan isu ini, tetapi ironinya, mereka jugalah yang meminta Ketua Pembangkang disiasat. Dan, hingga sekarang, isu Ketua Pembangkang sebagai puncalah yang dimainkan.

Situasi sekarang dalam keadaan yang agak kabur. Kita belum berhak untuk menilai. Pastinya selepas ini, sejarah hanya akan ditulis oleh golongan yang menang.

Untuk ahli politik, amalkan sikap berdiam sehingga kita jelas apa yang berlaku dan siapa yang sedang 'semangat' memainkan isu ini. 

Untuk perajurit yang terkorban, semoga Allah mengampuni dosa kalian dan mendapat pahala mati syahid atas keberanian mempertahankan negara.

Untuk penduduk Sabah khususnya Lahad Datu, semoga kalian beroleh kesejahteraan dan keselamatan. Bermohonlah perlindungan daripada Allah Subhanahu wa ta'ala, kerana Dia-lah sebaik-baik pemberi perlindungan.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum