Berbakti Pada Ibu



Said bin Abu Maryam telah mengabarkan pada kami, ia berkata, telah mengabarkan pada kami Muhammad bin Ja'afar bin Abu Katsir, ia berkata, telah mengabarkan pada saya Zaid bin Aslam, dari Atha' bin Yasar, dari Ibnu Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahwa telah datang seorang laki-laki padanya dan berkata,

"Aku melamar seorang wanita tetapi ia menolak nikah denganku, lalu ada orang lain melamarnya dan menerima. Aku merasa cemburu lalu kubunuh wanita itu, apakah aku masih bisa bertaubat?" Ibnu Abbas menjawab, "Apakah ibumu masih hidup?" Ia jawab, "Tidak". Lalu Ibnu Abbas berkata, "Bertaubatlah kepada Allah dan taqarrublah kepada-Nya menurut kemampuanmu!"

Lalu saya (Atha' Bin Yasar) pergi kepada Ibnu Abbas dan bertanya, "Kenapa engkau tanyakan tentang ibunya?", Ibnu Abbas menjawab, "Aku tidak mengetahui amalan apa yang mendekatkan diri kepada Allah selain berbakti pada ibu".

Hadith shahih (menurut Albani) di atas dipetik dari kitab Adabul Mufrad, karya Imam al-Bukhari. Sebuah kitab mengenai adab berpandukan hadith-hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Imam Bukhari merupakan ulama hadith yang sangat besar sumbangannya kepada kita semua.

Saya cantumkan sanad juga pada petikan di atas, kerana saya menyalin langsung dari apa yang saya baca. Berkata Imam al-Bukhari, "Saya meriwayatkan hadith dari 1000 syaikh bahkan lebih, tidak satupun hadith yang saya riwayatkan kecuali saya sebutkan sanadnya". Maka, bagi menghormati apa yang disampaikan oleh Imam al-Bukhari, saya salin langsung tanpa mengubah atau memotong petikan hadith.

Selain kitab Adabul Mufrad, kitab utama tulisan Imam al-Bukhari adalah kitab Al-Jaami'us Shahih. Ianya kitab utama yang menghimpunkan hadith-hadith shahih.

Banyak pelajaran yang dapat saya pelajari.

1. Imam al-Bukhari sangat tekun dalam mempelajari ilmu. Beliau belajar dengan ribuan guru dan menghimpunkan hadith. Kadangkala, kita baru belajar dengan satu guru, sudahpun merasa megah. Seolah-olah hanyalah kita sahaja yang mengetahuinya. Lebih malang, jika guru utama kita adalah "Syeikh Google".

2. Sifat yang ada pada Imam al-Bukhari adalah beliau seorang yang jujur dengan ilmu. Segala yang beliau dengar, itulah yang diriwayatkan. Kita juga harus begitu. Selain itu, kita perlulah periksa apa yang kita dengar. Semak samada ianya benar ataupun hanya bohongan manusia.

3. Kitab Adabul Mufrad ini terhimpun hadith yang sangat banyak! Ianya hadith yang berkaitan adab, sekaligus berkaitan kehidupan seharian kita. Sebagai Tholabul 'Ilmu, haruslah kita pelajari bab adab dengan sesungguhnya. Kerana bimbang, jika hanya ilmu tanpa adab, kita membawa fitnah terhadap ilmu itu sendiri.

4. Hadith yang saya petik diatas terkandung di dalam bab 'Berbakti Pada Ibu'. Ianya hadith ke-4 dalam kitab ini. Kita semua punyai ibu dan besar tanggungjawab kita kepada ibu. 

5. Seringkali ramai antara kita yang mengidamkan punyai pasangan. 'wahai imamku', 'wahai tulang rusukku', 'dimanakah dikau?' Ayat-ayat ini sering digunakan. Kenapa kita nak berbakti kepada benda yang belum ditentukan buat kita lagi. Tanggungjawab pada ibu sudahkah tertunaikan?

6. Saya sendiri seorang yang kurang mahir menunjukkan rasa kasih sayang kepada ibu. Walaupun jauh disudut hati, saya benar-benar menyintainya. Maafkan atas kesilapan saya (jika ibu membaca artikel ini).

7. Sejahat manapun kita. Sejahat manapun ibu kita. Ketahuilah, ibu kita adalah medan amal yang sangat baik untuk kita. Beramallah sebaiknya. Santuni ia, dengar katanya, minta maaf jika berbuat salah, selalu bertanya khabar dan.. (saya rasa saya sangat tak layak menulis contoh, kerana saya bukan peng-amal-nya)

8. Sifat cemburu yang ada pada diri manusia sangatlah bahaya. Bahkan, kerananya manusia boleh bergaduh hingga berbunuhan. Damaikanah hati dengan menerima ketentuan yang Allah sudah tentukan kepada kita. Kita tidak dapat mengetahui segala hikmah yang terjadi pada diri kita. Hanya yang mampu kita lakukan adalah bersangka baik kepada Allah, berdoa dan jalani kehidupan dengan bersungguh-sungguh.

9. Pintu taubat tidak pernah tertutup untuk kita. Hanya saja, kita yang liat untuk bertaubat. Kita malas. Kita sombong. Kita tak punyai masa. Tak patut ada pada diri seorang hamba (terutama saya), untuk malas dan sombong untuk bertaubat. Allah-lah Maha Penerima Taubat. Jangan sekali-kali menangguhkan taubat kita.

Wallahu 'alam

Allah knows best

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum