Kongres PKPMI Ke-36


Alhamdulillah. Hari Sabtu, Ahad dan Isnin yang lepas selesai menghadiri Kongres Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) yang di adakan di Hotel Park Lane, Jakarta. Sedikit catatan ringkas berkaitan kongres. Kongres ini diadakan secara tahunan dan pada tahun 2009, ia diadakan sedikit terlewat disebabkan beberapa hambatan. Daripada masalah kekurangan sumber kewangan hinggalah masalah internal yang lain.

Pada hari pertama, diadakan perasmian seterusnya pindaan perlembagaan. Mungkin pada sesi pindaan terdapat banyak kecelaruan berlaku. Dari segi pemahaman mengenai pindaan yang dibenarkan, kekangan masa dan terdapat ahli kongres yang baru mengetahui wujudnya perlembagaan ini. Walaubagaimanapun, terima kasih kepada Majlis Tertinggi PKPMI Pusat yang dapat menyelianya dengan baik.

Ahad pula diisi dengan pembentangan laporan, perletakan jawatan Majlis Tertinggi PKPMI Pusat sesi 2008/2009, pemilihan pimpinan PKPMI sesi 2009/2010 dan pembentangan usul. Semuanya berjalan dengan lancar. Cuma seperti hal sebelum ini, kekangan masa menyebabkan kebanyakan perkara tidak dapat dibincang secara menyeluruh. Kontradiksinya, malam hari diisi dengan persembahan daripada perwakilan dan sesi karaoke. Persembahan tersebut tidak dinafikan terdapat banyak manfaatnya. Namun karaoke yang dihiasi dengan poco-poco, tidak tahu untuk siapa. Kesimpulan untuk sesi karaoke daripada saya secara peribadi adalah, membazir! Membazir masa, wang dan dilihat hanya sebagai sebuah pesta untuk menyedapkan pihak-pihak tertentu sahaja.

Hari terakhir pula terdapat forum bersama Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Pegawai Mara dan Pegawai JPA di Indonesia. Forum ini sangatlah bermanfaat. Pelbagai isu ditimbulkan. Untuk ringkasan saya letakkan dalam bentuk point.

  • Elaun ketika tahun klinikal bagi pelajar medic hanya tersedia bagi pelajar yang mendapat biasiswa penuh daripada JPA sahaja.
  • Atase Agama berminat dan menjemput pelajar-pelajar jurusan agama agar diadakan perbincangan meja bulat berkaitan masalah imigrasi yang dihadapi mereka.
  • Pihak JPA dan Mara tidak dapat memenuhi permintaan kenaikan elaun sara hidup.
  • Atase Agama akan membawa hal penyama rataan jumlah zakat yang diterima dari setiap negeri.
  • Pihak JPA dan Mara untuk masa ini, belum membuka loan ataupun biasiswa bagi pelajar Kedokteran Hewan dan Pertanian.
  • Pihak JPA akan mengkaji pemberian akreditasi hanya bagi pelajar jurusan agama yang menghabiskan seluruh pembelajaran mereka di Indonesia. Jika yang hanya mendaftar disini tetapi kuliah di Malaysia, tidak mendapat kelulusan.
  • Permintaan pelajar pinjaman JPA untuk mendapat insuransi kesihatan dan elaun tahun klinikal tidak dapat diterima.

Rasanya sebagian besar perkara yang dibincangkan ada. Jika ada yang tertinggal, maaf.

Konklusi bagi keseluruhan Kongres PKPMI ke- 36 pada kali ini adalah berjaya namun terdapat sedikit ketempangan. Kata “tempang” tu saya ambil dari lafaz salah seorang perwakilan dari Acheh. Saya dikhabarkan, pada kongres tahun lepas telahpun menelan belanja hampir Rp 108 juta. Jika ditukar dengan mata wang Malaysia, nilainya mencecah RM 40 ribu. Jumlah ini adalah sangat-sangat besar dan kerana itu seringkali masalah ketiadaan wang dicanangkan. Apalah guna wang ini hanya untuk program beberapa hari jika dibandingkan dengan diberikan pada setiap cawangan untuk meneruskan aktiviti mereka. Untuk tahun ini, tidak pasti berapa nilainya. Ini hanya pendapat peribadi. Maaf jika menyentuh mana-mana pihak. Akhir sekali terima kasih kepada urusetia kongres kerana bersusah payah menyediakan keperluan perwakilan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum