Ulama dan 1 juta ringgit

Petikan daripada berita daripada Berita Harian pada hari ini (Selasa, 6 Januari 2009), yang bertajuk Hadiah tokoh Maal Hijrah tahun ini RM 1 juta.

KUALA TERENGGANU: Mulai tahun ini, Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan dijangka menerima anugerah wang tunai RM1 juta sejajar usaha kerajaan mengangkat martabat golongan ulama yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah sejagat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun hadiah bukan kriteria utama untuk menghargai ulama, meletakkan golongan itu lebih rendah berbanding penyanyi adalah tidak wajar.

Katanya, sebagai golongan pewaris nabi, ulama yang diberikan penghargaan harus diletak pada tempat sewajarnya kerana sumbangan golongan itu jauh lebih besar berbanding penyanyi walaupun penyanyi sering menjadi idola masyarakat.

"Jika ada yang sanggup menaja hadiah pertandingan nyanyian sehingga berjuta-juta, kenapa tiada syarikat besar boleh menaja hadiah untuk Tokoh Maal Hijrah dan saya yakin banyak syarikat yang dimiliki umat Islam sanggup berbuat demikian.

"Malah, jika Lembaga Hasil Dalam Negeri sanggup memberikan pengecualian cukai pendapatan, banyak syarikat yang sanggup menaja," katanya selepas melancarkan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) peringkat negeri di sini, semalam.

Tokoh Maal Hijrah 1430H/2008M menerima hadiah wang tunai RM100,000 daripada kerajaan, manakala RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi serta hadiah iringan.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah tidak dikurniakan sejak sambutan Maal Hijrah 1427H/2006 sebaliknya digantikan Anugerah Penghargaan Maal Hijrah. Jumlah bagi Anugerah Penghargaan Maal Hijrah dinaikkan daripada RM10,000 pada sambutan Maal Hijrah 1427H kepada RM30,000, dua tahun lalu.


Sebelum itu, Tokoh Maal Hijrah 1426H/2005 menerima wang tunai RM30,000 sumbangan kerajaan dan RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi serta pingat, sijil dan plak.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenankan sambutan Maulidur Rasul diadakan 9 Mac ini membabitkan 100,000 umat Islam dan akan berarak dari Dataran Merdeka ke jalan utama di Kuala Lumpur.

“Perarakan Maulidur Rasul sepatutnya diadakan secara besar-besaran sebagai simbol perpaduan di kalangan umat Islam. Kita bukan mahu mencabar mana-mana agama lain yang sebelum ini mengadakan sambutan keagamaan membabitkan jalan utama secara besar-besaran," katanya.


Alhamdulillah dengan usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Moga dengan niat untuk menaikkan martabat ulama dengan pemberian hadiah tersebut dapat mengangkat institusi agamawan untuk mendapat tempat walaupun dicelah-celah hiburan melampau yang bertumbuh di Malaysia.

Namun,

Janganlah nilai ulama dengan nilaian wang ringgit
Saya berpendapat bahawa apa yang diberi tersebut bukanlah pelepas bagi tanggungjawab kerajaan terhadap ulama. Institusi ataupun golongan ini pastinya lebih berpuas hati andainya kerajaan menggantikan wang tersebut dengan memberi lebih ruang kepada mereka untuk bersuara. Usahlah, disekat pendapat dan komposisi mereka dalam berdakwah kepada umat Islam khususnya di Malaysia.

Terimalah pendapat mereka sejajar dengan hadiah yang dinyatakan ini
Bukanlah saya bermaksud sama ada pendapat, kenyataan ataupun fatwa yang dikeluarkan oleh ulama ini dapat dibeli dengan nilaian tersebut. Namun, yang menjadi dasarnya adalah, pendapat ulama merupakan suatu yang bukanlah boleh diambil mudah. Bukanlah dengan tekanan oleh golongan atasan dapat melemahkan pendapat mereka. Tidak sekali-kali. Kita lihat bagaimana isu konsert Sure Heboh anjuran salah satu stesen penyiaran swasta yang diharamkan oleh ulama. Namun dengan sewenang-wenangnya ia dihalalkan dengan menukar namanya sedangkan konsepnya tidak beruabah. Dimana nilai ulama disini? Ini barulah satu daripada isu yang melanda. Belum lagi isu murtad yang dinyatakan oleh mufti Perak suatu ketika dahulu. Namun ditentang dengan pendapat syok sendiri sesetangah pihak.

Adakah wang dan infrastruktur menjadi asas kepada kukuhnya agama Islam?
Dalam isu ini, saya kaitkan dengan pembinaan perkampungan Islam Hadhari oleh kerajaan. Bukanlah usaha yang anda lakukan ini menyeleweng ataupun tiada kesan langsung. Namun, apakah yang dapat dilihat melalui perkampungan Hadhari tersebut? Masjid Kristal yang dibina dipulau Wan Man tersebut adakah hanya sebagai hiasan. Saya yakin pihak kerajaan juga tidak berpendapat demikian. Jadi atas dasar tersebut, nilailah kembali usaha ini dan adakah ianya suatu yang dapat membendung isu-isu utama yang melanda umat Islam ketika ini terutamanya dalam isu murtad dan keruntuhan akhlak remaja Islam.

Salurkanlah ia dengan cara yang betul
Akhirnya, pendapat saya lebih menyakini agar usaha memberi hadiah ini lebih bermakna dengan menubuh dan memperkuatkan institusi keagamaan khususnya di Sabah dan Sarawak. Dan juga, kajilah agar usaha yang haq dapat sampai dengan sebenar-benarnya.




nota:
1 Bagus juga. Mengelakkan wang ini tersalur ke acara-acara hiburan dan hal-hal yang tak berfaedah.
2 Namun janganlah hadiah dinaikkan, mulut ulama didiamkan, hedonisme biarkan.

Wallahu 'alam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Lagok bodo tapi bersengat

Mereka yang dari pintu ke pintu