MENYOKONG ADA MAKNA

Pada 12 Oktober 2017, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengeluarkan artikel melalui The Edge Malaysia Weekly bertajuk, "Bolehkah rokok pek kecil menghalang penyeludupan haram?" Di dalam artikel tersebut dinyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mencadangkan kembali rokok dalam bungkusan kecil, yang juga dikenali dengan "Kiddie pack".

Cadangan tersebut mencetuskan kritikan apabila KKM dilihat menyebelahi syarikat pengeluar tembakau. IDEAS dalam masa yang sama, mengatakan istilah "Kiddie Pack" merupakan propaganda yang dicipta oleh kumpulan anti-tembakau. Istilah ini memainkan emosi dan konotasi negatif agar orang ramai melihat "Kiddie Pack" merupakan rokok untuk kanak-kanak.

Bagi IDEAS, mereka melihat Kiddie Pack ini baik dengan alasan:

1. Rokok walau berapapun jumlah batang, tetap menjadi kesalahan undang-undang jika ianya dijual kepada kanak-kanak.

2. Kiddie Pack baik dalam mengawal ketagihan merokok. Mereka berpendapat, perokok akan cenderung untuk menghabiskan rokok yang terdapat di dalam kotak apabila bungkusan tersebut dibuka. Oleh itu, jika bilangan batang rokok yang banyak di dalam kotak, maka lebih banyak bilangan batang rokok yang akan diambil.

3. Kiddie Pack juga dilihat dapat menandingi saingan harga yang berlaku antara rokok berlesen dan rokok seludup sekarang.

IDEAS juga mengatakan bahawa penyeludupan rokok di Malaysia adalah antara yang tertinggi dengan hampir 60% rokok yang dikonsumsi rakyat Malaysia adalah rokok seludup. Malah, Malaysia merupakan negara ketiga tertinggi di dunia bagi penyeludupan rokok selepas Brunei dan Panama.

Oleh itu , IDEAS mengharapkan kerajaan memperkenalkan kembali Kiddie Pack secara berperingkat, sebagai eksperimen. Jika ianya berhasil, maka Kiddie Pack ini diteruskan.

Artikel IDEAS ini mengundang respon daripada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia. Bagi saya, ianya sangat menarik untuk dikongsikan. Berikut saya ringkaskan jawapan persatuan ini dalam bentuk point:

1. Kiddie Pack dicadangkan oleh industri tembakau, bukanlah oleh KKM seperti yang IDEAS gembar-gemburkan. Proposal Kiddie Pack ini ditolak oleh KKM dengan alasan undang-undang sedia ada hanya membenarkan pek 20 batang sahaja.

2. Istilah Kiddie Pack bukanlah baru diperkenalkan oleh komuniti kesihatan awam di Malaysia. Ianya istilah yang lama digunakan semenjak 1990-an, apabila Kongres Amerika Syarikat memperkenalkan Akta Anti-Kiddie-Pack. Bahkan ianya juga diperkenalkan dalam jurnal ilmiah.

3. Terdapat dokumen dalaman industri tembakau mengatakan tujuan Kiddie Pack ini supaya mampu-milik oleh generasi muda Malaysia.

4. Kumpulan pro-tembakau sering menggunakan data statistik penyeludupan rokok sebagai alasan pengenalan Kiddie Pack. Namun, data yang diberikan seringkali tidak konsisten. Industri tembakau, mempengaruhi kajian untuk menggambarkan penyeludupan rokok meningkat dengan mendadak. Sedangkan, kajian bebas mendapati isu penyeludupan rokok sengaja dihangatkan bagi mencapai tujuan mereka.

5. Bahkan, terdapat data yang digunakan oleh industri tembakau ini menunjukkan hasil yang sebaliknya. Sebagai contoh, British American Tobacco melaporkan penyelupan rokok meningkat dengan ketara pada tahun 2004 sebanyak 14% kepada 25.7% pada tahun 2008. Namun, mereka lupa akan fakta sewaktu tahun berkenaan, penjualan Kiddie Pack masih lagi belum diharamkan.

6. IDEAS mendakwa bahawa perokok di Malaysia memilih rokok berdasarkan faktor harga. Sedangkan, ahli ekonomi kesihatan berpendapat, perokok akan merokok dengan secara berkurangan, terdapat yang berhenti merokok dan generasi muda akan terhindar daripada mencuba rokok.

7. Pakar daripada seluruh dunia telahpun mengeluarkan Protokol bagi membasmi penyeludupan produk tembakau (Protocol to Eliminate Illicit Trade in Tobacco Products) melalui WHO yang mana Malaysia salah satu anggotanya.

8. Menurut kajian, kebanyakan perokok mati pada usia 30 hingga 69 tahun. Iaitu ketika usia produktif. Juga didapati, mereka yang merokok mempunyai kebarangkalian 33% untuk tidak hadir berkerja berbanding mereka yang merokok. Merokok juga menyebabkan kos penjagaan kesihatan meningkat.

9. Sejumlah 71% kematian adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit termasuk kanser, penyakit jantung dan paru-paru, diabetes dan gangguan mental. Kesemua penyakit ini berkongsi faktor risiko yang sama iaitu merokok, obesiti dan penyalah gunaan alkohol.

10. Sama ada rokok dijual secara sah ataupun tidak, ianya tidak menjadikan rokok itu selamat. Terdapat 5 juta perokok di Malaysia dan kita mahukan mereka berhenti merokok; bukannya beralih daripada rokok seludup kepada rokok sah undang-undang.

12. Sebanyak 10% (500 000 orang) daripada perokok adalah kanak-kanak. Kajian yang dijalankan kepada 100 000 kanak-kanak mendapati harga rokok yang murah sangat berkait rapat dengan pengambilan merokok mereka.

14. WHO telah merangka Framework Convention On Tobacco Control (FCTC) dan Malaysia telah mengambil langkah yang baik dengan mengharamkan penjualan Kiddie Pack pada 2010. Tidak seharusnya Malaysia mundur ke belakang dengan membenarkan semula Kiddie Pack.

Jawapan yang diberikan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia ini saya kira jawapan yang baik dalam menjawab artikel IDEAS tersebut.

Sehingga kini, soal penyeludupan rokok ini sering dimainkan oleh IDEAS. Namun, apabila saya melihat web mereka, salah satu punca dana IDEAS adalah daripada syarikat tembakau Philip Morriss (Malaysia) Sdn Bhd.

Dan, terbitlah kata-kata, "Patutlah..."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum

Mereka yang dari pintu ke pintu