Fitnah pena

Sumber: Saifulislam.com
Kenapa jahat sangat tangan?

Cuba lihat facebook.

Dahulu orang kata mulut yang jahat. Tetapi sekarang, mulut tidak berkata. Cuma tangan yang ligat menulis. Mudah kita menulis, apa sahaja yang ada dalam minda, terbit dari gambaran hati. Kita curahkan semua. Tanpa mengira; pada siapa kita tujukan, medium yang kita gunakan, siapa sahaja yang mampu baca, kesan dari penulisan kita, dan paling penting, di mana rasa bertuhan kita letakkan ketika itu?

Tidak pernah kita lihat orang tua yang mudah melontar kata dusta dan nista. Mungkin ada, tetapi jarang. Itu di alam realiti. Namun, tika di alam maya? Gundah, resah hati melihatnya. Pak dokter, pak kiyai, dosen pengajar (pensyarah), guru, dan orang-orang yang dihormati masyarakat- bebas menulis ayat keji.

Uzlahkan tangan kita. Tanya, mana tuhan kita letakkan ketika menulis. Neraca dosa-pahala mana yang tidak seimbang. Periksa lagi dan lagi.

Kita bukanlah dizaman orang menghafal nombor telefon rumah. Bertanya, "Assalamu'alaikum, boleh saya bercakap dengan...," itu dahulu. Kita dizaman, orang melihat sesuatu yang mereka tidak suka, langsung menegur. Tiada salam, tiada pengenalan. Tidak kira orang tersebut lebih tua atau muda. Banyak kala, nista yang menjadi muqadimah.

Banyak yang perlu kita introspeksi.

Pada diri kita. Pada keluarga kita. Pada masyarakat kita.

Kerana itulah, alam maya akan kekal maya. Tidak berhubungan di alam maya tiada makna di dunia realiti. Malah, kadang kala ianya lebih harmoni. Tidak timbul prasangka dan perseteruan. 

Ringankan tangan untuk unfriend atau unfollow teman yang dapat menimbulkan provokasi hati kita. Mungkin katanya tidaklah salah. Namun, hati kita yang harus dijaga supaya tidak terasa dengannya. Menjaga ukhuwwah itu lebih penting.

Kata Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

“Apabila anak Adam bangun pagi, maka sesungguhnya seluruh anggota tubuhnya memujuk lisan, lalu mereka berkata, “bertaqwalah kepada Allah wahai lisan, pada menjaga hak kami. Sesungguhnya kami ini adalah bergantung kepadamu. Jika engkau lurus, luruslah kami. Dan jika engkau bengkok, bengkoklah kami”

[HR Al-Suyuthi di dalam al-Jāmi’ al-Saghīr]


--------------------

Saya menulis ini kerana kesal pada diri. Banyak kali telah diingatkan. Berkata yang baik, atau DIAM. Namun, dunia facebook tidak mudah berbuat begitu. Ada sahaja kita nak komen. Kebiasaannya, tidak memberi manfaatpun.

Untuk bacaan lebih lanjut, daripada Ustaz Hasrizal (Abu Saif):
Tulisan dan Lisan: Tangan Menjadi Lidah di Akhir Zaman


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum