Stase- Jiwa

Alhamdulillah, sekarang sudahpun minggu terakhir Stase Ilmu Kedokteran Jiwa.

Bermakna, saya sudahpun hampir melewati 7 stase. Terdapat 12 stase yang yang perlu dilalui sepanjang semester kepaniteraan ini. Bahasa mudahnya, stase tersebut juga boleh disebut department. Mengikut silibus universiti saya, terdapat 12 department yang harus dilalui untuk lulus dan mendapat gelar dokter perubatan. Contoh department pula seperti Ilmu Penyakit Mata, Ilmu Penyakit Dalam, Ilmu Kedokteran Forensik dan sebagainya.

Stase pula terbahagi kepada dua, iaitu minor dan major. Bagi stase major, mengambil waktu selama 10 minggu. Bagi stase minor pula, mengambil masa samada 5 minggu, 4 minggu atau 2 minggu.  Saya kurang tahu kenapa dibahagikan kepada major dan minor. Asumsi saya, bidang perubatan yang dikelaskan major memerlukan masa yang lebih lama untuk dapat menjumpai kes yang lebih banyak serta bidang ini lebih luas berbanding yang lain.

Saya tidak tahu kenapa saya ceritakan hal ini. Saya juga tidak tahu siapa pembaca blog ini. Saya juga tidak tahu samada blog ini mempunyai pembaca ataupun tidak. Namun, saya perlu mencatatnya untuk diri saya. Pengetahuan saya hari ini, belum tentu dapat bertahan lama. Memori saya hari juga, mungkin akan saya terlupakan. Umpama sekarang, apabila adik-adik junior menceritakan modul-modul yang mereka belajar, saya lupa. Hal semudah, contohnya: Ilmu Penyakit Mata belajar diblog mana, semester berapa, dokter yang menagajar.. Banyak yang saya lupa.

*****************************

Ilmu Kedoktern Jiwa

Stase ini saya harus lalui selama 5 minggu. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya pernah mempunyai cita-cita menjadi seorang Psikiatris. Bermaksud Pakar dalam bidang kejiwaan (saya tidak tahu istilah di Malaysia). Mungkin juga, kerana saya meminati bidang Sains Sosial dan Psikologi termasuk dalam cabang sains sosial itu sendiri.

Namun, saya agak dilema dengan bidang ini. Saya tidak tahu dilema itu benar ataupun tidak. Antaranya, bidang ini agak kontroversi suatu ketika dahulu. Ianya kerana bidang ini banyak yang bersifat empirik. Daripada cara menegakkan diagnosa hinggalah pengobatannya. Ini kerana, pembuktian secara pemeriksaan penunjang (pemeriksaan laboratorium, radiologi dan sebagainya) bukanlah suatu yang penting. Kerana itu, ianya dipertikaikan. Adakah ianya mempunyai evidence-based ataupun hanya sekadar teori/hipotesis?

Itu yang pertama.

Yang keduanya kerana saya merasakan bidang ini perkembangannya agak sedikit terlambat berbanding bidang-bidang tertentu. Buku-buku yang dipakai masih buku lama. Berusia belasan tahun. Ubat-ubat kejiwaan memang banyak dan cepat berkembang, namun ianya hanya kerana ianya mampu mengaut keuntungan yang banyak. Perusahaan ubat berlumba-lumba mencipta ubat-ubatan baru. Namun sekali lagi saya sebut, ini hanya persepsi saya, iaitu mahasiswa perubatan yang jahil.

Seterusnya, bidang ini kurang mendapat tempat dikalangan masyarakat. Masyarakat seolah-olah tidak tahu kesihatan jiwa. Jika seseorang menghidap penyakit yang aneh, terus dikatakan ianya sihir dan pelbagai lagi 'diagnosis' ghaib yang lain. Akhirnya, ke dukun dan bomohlah tempatnya. Jika tidak berhasil, jalan terakhir barulah ke psikiatris. Itupun, mujur jika ada yang mencadangkan untuk dibawa ke doktor psikiatris. Jika tidak, terbiarlah nasib penderita ini. Orang malu untuk bertemu dengan psikiatris kerana ianya popular dengan konotasi Doktor Orang Gila. Suatu stigma negatif yang membuatkan masyarakat menghindar dengan bidang ini.

Dan terakhir, jika anda pernah melihat video kritikan terhadap DSM V, pasti anda melihat seolah ada sesuatu yang tidak kena dengan DSM ini. Bagi yang tidak tahu, DSM bermaksud The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM). DSM V (lima) ini merupakan pedoman yang dikenakan bagi menegakkan diagnosa gangguan jiwa. Malangnya, jika menurut DSM tersebut, hampir kesemua orang yang datang ke psikiatris pasti mempunyai gangguan jiwa. Menjadikan bidang ini perniagaan yang menjebakkan orang dengan gangguan jiwa bagi mengaut keuntungan.

Di atas ini saya senaraikan antara persepsi negatif mengenai kedokteran jiwa. Biarpun saya tahu terdapat yang salah, namun saya senaraikan juga.

Dan, tujuan untuk blog ini kembali dengan tulisan yang panjang berhasil. ^_^

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum