PERMAI 2011

Alhamdulillah, PERMAI 2011 selesai juga akhirnya! Suatu kegembiraan dan kepuasaan buat kami. Setelah hampir setahun merancang, pelbagai cabaran dihadapi, dapat juga diselesaikan dengan jayanya (insha Allah).

Saya belum berkesempatan untuk menulis panjang mengenai sebalik tabir PERMAI.

Izinkan untuk saya salin-tampal tulisan Ustaz Hasrizal berkaitan PERMAI 2011 dari laman blognya.


---------------------------------------------------





Alhamdulillah. PERMAI 2011 sudah melabuhkan tirainya.

Kali ini Jakarta menjadi tuan rumah kepada persidangan ketiga mahasiswa Islam Malaysia seluruh Indonesia selepas Jogjakarta (2009) dan Bandung (2010).

Saya sekali lagi diberikan kepercayaan mengendalikan pengisian program selama 3 hari 2 malam ini selepas 7 Habits pada 2009 dan Mengertikan Kembali Islam dan Muslim pada 2010. PERMAI 2011 tampil dengan tema “Sebuah Baitul Muslim Buat Ummah: Begin with the End in Mind”. “Wajarkah tajuk ini?” ada yang bertanya.

“Cinta?” sinis sebahagian pula.

“Bukankah Baitul Muslim mesti didahului pembentukan Sahsiah Muslim? Mengapa melangkah keutamaan?” ada juga yang menyoal begitu.

Hakikatnya, Baitul Muslim dan Individu Muslim tidak boleh dipisah. Individu Muslim adalah untuk membentuk Baitul Muslim dan Baitul Muslim adalah untuk melahirkan Individu Muslim.

Seperti kata John F. Kennedy, “The time to repair the roof is when the sun is shining!”

Masa untuk memperbaiki bumbung ialah ketika mentari masih bersinar. Malah belajar membuat bumbung perlu mendahulu perbuatan membina dan memperbaikinya. Elok benarlah di usia ini, dan tatkala PERMAI menjengah usianya yang ketiga, tema Baitul Muslim dipilih.

Di awal program, ada banyak video dan petikan kata yang indah. 

“So sweeet!” tagline PERMAI kali ini.

Saya berusaha untuk membentangkan topik Baitul Muslim seluas mungkin.

3600.

Berikut adalah isi-isi perbahasan utama yang telah disentuh sepanjang tiga slot yang diberikan kepada saya: 

SENARIO TOPIK 

  • MEMENUHI FITRAH 
  • MENYEMPURNAKAN 
  • SEPARUH AGAMA 
  • TENAGA TIDAK BOLEH DIMUSNAHKAN 
  • MENGEMBANGKAN TAMADUN MANUSIA 
  • INDIVIDU MUSLIM – KELUARGA MUSLIM – INDIVIDU MUSLIM 
  • KUASA ‘CINTA’ 
  • MOTIVASI PERBUATAN 
  • ALAT MELATIH IKUT ARAHAN 
  • KUASA MEMAAFKAN 
  • EMPATI DAN HIKMAH DAKWAH 


ACUAN ALLAH 

  • SYARIATULLAH: HUKUM HAKAM ‘AGAMA’ 
  • SUNNATULLAH: 
  • HARD SCIENCE 
  • KESIHATAN 
  • PEMAKANAN 
  • KEPERLUAN FIZIKAL 
  • SOFT SCIENCE 
  • KOMUNIKASI 
  • PSIKOLOGI 


PARADIGMA 

  • PEOPLE, PROCESS, PURPOSE 
  • CINTA P.I.E.S 
  • MENTERJEMAHKAN ASAS PERBUATAN MANUSIA 
  • KEPERCAYAAN 
  • PANDANGAN HIDUP 
  • SISTEM NILAI 
  • HAMBA – KEHAMBAAN – IBADAH 


ISU-ISU SEMASA 

  • KAHWIN SEMASA BELAJAR 
  • CARA MENDAPATKAN JODOH 
  • KAHWIN BERBEZA ‘FIKRAH’ 
  • ISU SEKUFU DI AWAL DAN SEPANJANG PERKAHWINAN 
  • BAGAIMANA ‘APPROACH’ IBU BAPA & BAKAL MERTUA 
  • PERANCANGAN KELUARGA 
  • MERTUA VS MENANTU 
  • SEKSUALITI LURUS & SONGSANG 
  • IMPLIKASI TEKNOLOGI (DIGITAL VS ANALOG) 
  • KEIBUBAPAAN 
  • BERLATAR BELAKANGKAN KELUARGA BAIK VS BERMASALAH 
  • TEKANAN KERJA 
  • FITNAH DI TEMPAT KERJA 
  • PERKAHWINAN JARAK JAUH 


PERMAI 2011 turut diserikan dengan kehadiran Al-Fadhil Al-Ustaz Mohd Erfino Johari daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Beliau mengendalikan sebuah slot, dan menyampaikan ucapan penutup yang penuh berisi. Malah, sebagai senior dan sahabat lama yang sama-sama bernasyid di dalam Usrah al-Firdaus semasa di Jordan dahulu, kami bersetuju untuk berduet mengalunkan nasyid “Keluarga Bahagia” sebagai buah tangan kenangan buat peserta yang hadir daripada lokaliti sejauh Medan di Sumatera, Makassar di Sulawesi juga Malaysia.

Saya juga terasa amat bertuah mendapat peluang ditemukan dengan seorang penceramah muda popular di Indonesia iaitu al-Fadhil Al-Ustaz Salim A. Fillah yang saya kenali melalui bukunya SAKSIKAN BAHWA AKU MUSLIM.

Beliau menyampaikan ceramah bertajuk DALAM DEKAPAN UKHWAH yang juga merupakan tajuk salah sebuah buku beliau.

Al-Fadhil Ustaz bermurah hati menghadiahkan saya senaskhah bukunya yang amat lazat dibaca, penuh berkhasiat.

Kesimpulan berat hasil wacana 3 hari 2 malam di Taman Wiladatika Cibubur itu, bukanlah pada memilih antara kahwin semasa belajar atau kahwin selepas belajar yang lebih baik. Sebaliknya, apa sahaja keputusan yang dibuat, semuanya hasil mempertimbangkan isu Baitul Muslim bukan lagi secara reaktif kerana tertekan dengan ‘trend’ rakan, bukan lagi dengan idea-idea terbang di awan, tetapi secara berpijak di bumi yang nyata.



Terima kasih kepada Urusetia PERMAI 2011 Jakarta yang diketuai oleh Doktor Ahmad Farid Asyraf Ramli.

Terima kasih kepada Dr. Asydad Azaharrudin dan ahli rumah di Tanjung Duren kerana sudi menumpangkan saya dan Pengurus Operasi STC, saudara Zainal Lutfi.

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat Urusetia PERMAI 2010 yang begitu sentimental dengan baju tahun lepas mereka.

Terima kasih kepada Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan semua pihak yang menyokong secara moral dan kewangan bagi menjayakan program ini.

Terima kasih yang teristimewa buat isteri tercinta di rumah yang bermujahadah melepaskan pemergian suaminya, tinggal di rumah bersama empat cahaya mata yang turut menambah rindu dendam. Yang ditinggal memang derita. Namun yang pergi tak kurang peritnya.

Syukur, terima kasih kepada urusetia kerana menyiarkan PERMAI 2011 secara langsung melalui streaming atas talian.

SESUNGGUHNYA… 

Rumahtangga ialah sebuah projek yang mesti dibentuk dengan pemikiran seorang ‘budak’ berusia 26 tahun, tetapi perlu betul dan valid hingga ke usia 62 tahun, dan seterusnya…

Ia bukan mainan.

Ia bukan cuba-cubaan.

Ia projek besar.

Projek ke Syurga, atau ke Neraka.

Namun perkahwinan tetap sebuah perkahwinan.

Ia, ‘so sweeettt!’

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum