Dakwah Medium Baru

Gambar Hiasan
Manual Dakwah Medium Baru

Sering disebut dan dipesan, jagalah hablum-min-allah iaitu hubungan dengan Allah SWT dan hablum-min-annass iaitu hubungan sesama manusia. Dua aspek ini penting sebagai seorang individu Muslim.

Oleh itu, saya cuba sentuh dalam catatan ringkas ini, berkaitan hubungan sesama manusia.

Jika kita lihat, banyak buku yang membahaskan mengenai hubungan sesama manusia. Sebagai contoh, Men are from Mars, Women are from Venus.

Pernah dengar?

Ianya merupakan buku yang sering disebut oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil (saifulislam.com). Konteks penulisan buku tersebut adalah memahami insan berlainan jantina. Dan, selain itu banyak lagi buku-buku lain yang ada.

Ianya kajian mengenai manusia. Cabang besarnya- Sains Sosial. Terdapat pelbagai karya masyarakat barat berkaitan hubungan sesama manusia. Mereka bukanlah dai' (pendakwah), namun mereka mengkaji akan hal ini. Kajian-kajian ini sangat berguna buat kita memahami manusia; terutama dari segi cara komunikasi, pola fikir, faktor-faktor penarik dan lain-lain.

Kerana itu, aktivis-aktivis dakwah jangan lupa untuk turut membaca dan memahami manusia melalui kajian tersebut. Biarpun ianya bukan karya ilmuwan Islam, tiada salah untuk kita belajar dan mengambil manfaatnya.

Hal dakwah adalah interaksi sesama manusia dan menyeru kepada Allah SWT.

Sasaran dakwah kita kepada siapa? Ya, pastinya terhadap manusia.

Tetapi, golongan mana sasaran dakwah kita? Anak sekolah, pemuda pemudi, pakcik-pakcik di Masjid?

Suka saya mengambil kata-kata, Saidina Umar al-Khattab ketika berdiskusi bersama sahabat-sahabat yang lain. Beliau meminta sahabat-sahabat agar bermimpi, apa yang mereka mahukan berada dalam bilik tersebut. Banyak jawapan yang diberikan. Tetapi, kata-kata Saidina Umar benar-benar bermakna;

"Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ (pemuda-pemuda) seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah, supaya aku boleh hantar mereka ke jalan Allah”

Saya terdengar dalam sebuah forum, moderator forum tersebut menyebut, lebih kurang bermaksud,

"Mencari anak muda adalah dengan mencari di dalam kabel wayar.."

Faham yang dimaksudkan?

Pertama yang disebut adalah kelompok sasaran dakwah- yakni pemuda/i. Kedua, medium penyampaian dakwah- kabel wayar (alam siber/maya).

Ini kerana, dalam dunia yang berkembang ini, medium baru untuk dakwah juga terbuka luas. Dan, yang menariknya, pengguna utama kepada medium ini adalah anak muda. Bukankah ini memudahkan usaha dakwah?

Medium baru; antaranya adalah laman komunitas seperti friendster, facebook dan twitter serta blog dan tumblr. Ianya perlulah dimaksimalkan oleh kita semua dalam berdakwah.

Ianya umpama pedang, jika kita tidak menggunakan untuk menentang lawan, maka lawan akan menggunakannya untuk menikam kita. Dari itu, hal pertama yang perlu aktivis dakwah fahami- jangan kita yang larut dengan medium ini. Lalai membuang masa dan tenaga, sedang tuntutan ummah masing banyak belum terpenuhi.

Dakwah 'ala Facebook
Saya khususkan tulisan ini untuk medium baru-facebook terlebih dahulu. Supaya lebih mudah dan terarah. Misi kita yang utama, MENGEPUNG DUNIA DENGAN KEBAIKAN!

Update status dengan hal-hal yang menarik mad'u (sasaran dakwah) kepada kebaikan
  1. Untuk hal ini, sangat mudah. Anda terjumpa quote menarik, salin dan tampal. Orang terbaca, biarpun dia tidak mengamalkannya, anda tetap mendapat pahala kebaikan.
  2. Tidak perlu untuk penuh dengan dalil, kerana pemahaman dari dalil itu yang lebih utama.
  3. Elakkan mengunakan status 'terlalu' Islamik. Sebagai contoh, "Tarbiyyah Dzatiyyah suatu keutamaan.." Sedangkan mad'u anda tidak mengerti bahkan hal ini sering dianggap ekstrim oleh masyarakat.
  4. Mengambil ibrah dari kejadian- sebagai contoh, berlaku suatu kejadian/peristiwa- "Kelantan tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia akibat gol saat akhir" Anda kongsikan, ibrah yang dapat diambil. Contohnya: "Kita lihat Kelantan bermain baik semalam, mereka mengontrol bola, menguasai permainan, tapi akhirnya tewas. Introspeksi pada diri kita, adakah kita merasakan amalan kita selama ini mencukupi? Adakah kita akan berakhir dengan husnul khatimah? Sedangkan kematian tidak pernah dapat kita jangkakan."
  5. Hal update status facebook ini mudah, tetapi ramai yang tidak mengambil peluang. Anda membiarkan hal-hal jahiliah yang 'menguasai' wall facebook anda. Kenapa tidak mahu turut serta? Proaktiflah wahai pendakwah sekalian.

Share bahan bacaan atau gambar 
  1. Terdapat banyak forum dan laman web Islamik yang menyediakan bahan dakwah. Sebagai contoh, dakwatuna, iluvislam, eramuslim dan pelbagai lagi. Apabila anda telah membacanya, belum tentu lagi rakan anda pernah membacanya juga. Jadi apa salahnya jika anda turut berkongsi.
  2. Cara berkongsi, sama ada anda boleh menekan button share seperti yang terdapat dalam kebanyakan web. Ataupun, anda copy dan pastekan dalam bentuk notes ataupun gambar yang menarik.
  3. Pahala beb! Takkan taknak pahala apabila jalan mudah dah terbentang depan mata. Sebarkan dan takluk dunia ini dengan kebaikan!
  4. Bagi mereka yang kreatif, bolehlah design gambar dengan mesej kebaikan. Gambar anda yang menarik pasti akan mendapat perhatian insan lain.


Membina ukhuwwah
  1. Apabila anda menambah (add) rakan baru dalam facebook anda, jangan lupa untuk menegurnya. Jika terlampau malas, cukuplah sekadar ucapan salam di wall facebook rakan tersebut.
  2. Hal ini dapat menjadi dakwah fardhiah (DF) bagi anda dengan sahabat tersebut. Jangan meletakkan tahap orang-orang tertentu untuk ditegur. Anda tidak layak untuk judge mereka. Biarpun Mat Rempit, tegurlah dia. Cuma ini digalakkan untuk yang sama jantina sahaja yer.


Hadiahkan ucapan dan doa
  1. Fitrah manusia, suka apabila dihargai. Biarpun ucapan "Selamat Hari Jadi" namun ianya sangat bermakna.
  2. Jadi, jika ada rakan anda yang menyambut ulang tahun kelahiran, raikanlah ia dengan ucapan dan doa. Cuma, sebagai aktivis dakwah, anda perlulah lebih kreatif. Jika sekadar di wall, merekapun tidak sempat membacanya satu persatu. Seringkali terlalu banyak yang menghadiahkan ucapan. Jadi anda ambil cara lain, ucapkan lansung ke inbox beliau.
  3. Dengan itu, berkenalan dan merapatkan ukhuwwah. Apabila manusia rasa dihargai, mereka mudah untuk menerima DF anda dengan lebih mudah.
  4. Ingatan lagi sekali, hanya untuk sama jantina yer.


Memuji rakan atas kebaikan yang dilakukan
  1. Seperti yang disebut di atas, manusia suka apabila dihargai. Namun, kadangkala kita agak skeptisme. Apabila orang melakukan kejahatan, sibuk diperkatakan; tapi apabila orang melakukan kebaikan, sedikit sahaja antara kita yang memberi doronga.
  2. Oleh itu, antara yang boleh dilakukan dengan like status rakan tersebut dan komen memuji atas tindakannya. Semoga kita berjaya menyentuh hatinya.


Hal-hal yang disebutkan di atas sebenarnya adalah sangat teknikal. Ianya bergantung kepada ke-kreatifan dan sikap pro-aktif pendakwah tesebut.

Mungkin bahan bacaan cadangan buat anda semua, Bagaimana Menyentuh Hati karya Abbas As-sisi.

Ingat, yang saya sebutkan adalah dakwah umum. Tentu hadafnya umum. Bijaklah dalam membezakan keduanya. Ianya sama-sama penting.

Sebagai tambahan, perkongsian idea Dakwah Medium Baru oleh Ustaz Zaharuddin (UZAR).

--------------
[1] Terima kasih kerana membaca catatan yang saya sangkakan 'ringkas' ini.

[2] Apa lagi, lakukanlah!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tentang Mek

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum