Tentang Mek



“Allah, Yah kelik dop royakpun deh,” Mek menyambut kedatangan kami dengan wajah kehairanan.

“Meme nok kelik? Ke singgoh smetta jah?” inkuirinya Mek tak reda lagi.

Pelik.

Mungkin itulah yang dirasakan Mek. Jika sebelum ini, Mama pasti maklumkan terlebih dahulu mahu pulang ke kampung. Tapi kali ini, Mama kata tak mahu bagitahu. Sebabnya, kalau dapat tahu kami nak pulang, sibuk dia duk berkemas dan menunggu kami tiba. Kalau kami sampai lewat malam, sanggup dia tak tidur. Dah la keadaan kesihatan Mek yang sering lelah kebelakangan ni.

Mek sebenarnya adalah mak saudara saya. Kami panggilnya Mek, walaupun kebiasaan panggilan Mek merujuk kepada nenek. Entahlah kenapa. Tapi usianyapun tak jauh berbeza dengan usia nenek sebelah ayah.

Itu kisah dahulu. Kepulangan saya untuk menyambut kedatangan Syawal tempoh hari barulah saya tahu Mek sudahpun terlantar akibat strok. Wajahnya tak bermaya. Hanya kadang-kadang bisikan suaranya sahaja kedengaran. Sebelah dari tubuhnya tidak dapat berfungsi.

“Acik duduk sini eh. Pegang tangan Mek. Urutlah sikit-sikit. Nak jadi doktorkan, kenalah biasa,” Mama menyuruh saya menemani Mek.

Sayapun memegang tangan Mek, terus tangan saya digenggam. Tangannya yang sangat kurus saya urut sedikit demi sedikit. Jelas terlihat salur darah vena. Sesekali saya cuba lepaskan tangan Mek, digenggam kembali tandanya mahu sentiasa ada yang menemaninya.

Tangan kanannya diikat sedikit kerana dah beberapa kali Mek cuba menarik tiub salur makanan yang disumbat melalui hidungnya. Pastinya kerana sakit dan tak selesa.

“Acik tahu tak macamana nak tukar tiub ni?” Mama bertanya. Tiub yang Mek pakai perlu ditukar.

“Acik tak belajar lagi la ma,”

Malu juga. Banyak soalan-soalan tentang penyakit Mek yang Mama tanyakan. Hampir semuanya saya tak dapat jawab.

Mujurlah selepas tu, datang sepupu saya yang memang bekerja di hospital. Dia tunjukkan cara masukkan tiub tersebut. Katanya tiub tersebut ada saiz-saiznya dan untuk tahu saiz, lihat pada warna penutup tersebut. Berbeza warna maknanya berbeza saiz. Sebelum dimasukkan, diukur panjang antara lambung (perut) dan hidung. Kemudian dimasukkan kedalam hidung. Bila sampai pada ukuran tadi, ambil picagari dan sedut sedikit. Bila ada cairan yang masuk ke picagari, maknanya tiub tu dah sampai lambung. Tujuannya adalah bagi mengelakkan tiub tersilap masuk ke paru-paru. Akhirnya, tutup semula pada hujung tiub dibahagian luar dengan tudung berwarna tadi. Kalau tak tutup, bimbang bendasing masuk atau berlaku infeksi.

Strok? Yang saya tahu hanyalah secara umumnya sahaja.

Sepanjang lebaran tersebut ada juga bertanya pada Abang Akmal, salah seorang senior angkatan 2005 yang akan masuk sesi klinikal ketika itu.

“Strok ni ada dua.. bla.. bla.. bla.. Makcik ko strok apa?”

“Biasanya doktor bagi ubat bla.. bla.. bla.. untuk nak kasi darah cair”

(bla.. bla.. bla.. tu saya tambah sebab banyak sangat dia terangkan. Tapi ada yang saya tak ingat dan ada yang tak paham) =]

Dapatlah juga tahu serba sedikit.

Jumaat lepas pula (8 Januari 2010), saya dikejut apabila membaca facebook abang. Katanya, Mek telahpun pergi menghadap Ilahi dan keluarga saya segera pulang ke kampung.


Jauh fikiran saya melayang terkenangkan Mek. Kadang-kadang kesibukan Mek dalam membersihkan rumah, melayan karenah kami dan cucu-cucunya membuatkan kami tersenyum. Bukan apa. Akhir-akhir sekali pasti Mek akan mengadu lelah. Dengan keadaannya yang kurang sihat, Mama sering nasihat supaya berehat dan jangan buat kerja berat-berat. Mungkin kebahagiaan yang dia dapat dengan membuat semuanya tu membuatkan Mek tetap bersungguh.

Semoga pemergian Mek ini bukanlah suatu perjalanan yang pahit, namun ia hanyalah sekadar satu tempoh singkat untuk bertemu dengan Sang Penciptanya, yakni Allah SWT. Semoga roh Mek ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.

Inilah makna sebenar tahun baru 2010. Bertambahnya usia kita dan makin hampirlah kita pada kematian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mereka yang dari pintu ke pintu

Puasa: Antara Optimum dan Maksimum